16.6.08

Mengapa perlu mencintai Allah


Assalamualaikum,
Hari in ana kembali berdialog, barangkali wujud tanda tanya kepada para pembaca mengapa hebatnya bercinta ini, ana tidak mengagungkan cinta manusia, tetapi ana cuba sampaikan bahawa cinta kepada Allah adalah segala-galanya. Jika Cinta Allah ini wujud dalam minda dan jiwa para remaja, dengan rahmatNya, maka usahlah kita takut akan masalah dunia sekarang, tiada lagi masalah sosial, jenayah rogol, jenayah bunuh, memperkosa, sumbang mahram dan macam2 lagi perkara yang ditakuti. Nauzubillah.

ALLAH segala-galanya. ALLAH itu penyelamat, pelindung, pendidik, pemberi hidayah, pemberi rezeki dan kawan setia kita. Kalau kita faham dan hayati itu, akan datang kasih sayang. Cinta kepada selain ALLAH tidak salah tetapi jangan mengatasi cinta kepada ALLAH. Tidak salah cinta kepada isteri, orang tua dan anak, tetapi jangan mengatasi cinta kepada ALLAH. ALLAH mewajibkan kita mencintai- Nya.

Mengapa kita disuruh cinta kepada ALLAH sedangkan ALLAH Maha Sempurna? Apakah ALLAH suruh kita mencintai- Nya untuk meninggikan darjatNya? ALLAH sudah sempurna. Ke-Mahasempurnaan ALLAH kekal dan azali. Tidak berkurang dan tidak bertambah. Cinta kita bukan untuk meninggikanNya. Kalau kita tidak cinta, tidak puji, tidak sembah, atau kita caci maki, ALLAH tidak tergugat dan tidak cacat. Berbeza dengan manusia. Manusia apabila dihina dia cacat, manakala apabila dipuji dia terangkat.

ALLAH yang menjadikan manusia, maka ALLAH tahu apa keperluan manusia lahir dan batin (rohaniah). ALLAH jadikan sebab-sebabnya supaya keperluan itu mencukupi. ALLAH mewajibkan kita cinta kepada ALLAH, di situlah datang rahmat dari ALLAH. Sebab manusia yang cinta kepada ALLAH, akan secara automatik cinta kepada makhluk ALLAH terutamanya sesama manusia.

Ertinya hamba ALLAH yang mencintai ALLAH nescaya perikemanusiaannya sangat tinggi. Dia pengasih pada orang lain, bertimbang rasa, kasihan, tidak boleh mendengar orang susah, sangat mengutamakan orang, sangat bekerjasama, suka menghibur orang, suka memaafkan dan meminta maaf dan sebagainya. Ini keperluan manusia. ALLAH tidak perlu cinta manusia. Kalau manusia tidak cinta ALLAH maka hilanglah perikemanusiaan seperti terjadi hari ini. Kalau sudah tidak cinta ALLAH, hidup individualisme, bagaimana hendak bekerja sama dengan orang lain? Ini yang terjadi. Bukan diri saja yang susah, masyarakat pun susah kerana perikemanusiaan sudah tidak ada. Cinta sesama manusia sudah tidak ada kerana terputus cinta dengan ALLAH. Maka inilah yang kita liaht sekarang, jenayah sosial berleluasa, manusia ibarat syaitan yang meratah mangsanya. Tiada perasaan belas kasihan, tiada jiwa insan, tiada pedoman, tidak takut pada azab ALLAH! Nah, sedarlah, Cinta ALLAH mampu menyelamatkan manusia.



Dengan ada Cinta ALLAH, hidup akan aman, yang susah terbela, yang lemah dijaga, yang batil didakwa, yang benar tetap bersuara. Tiada lagi Zina, sumbang mahram, tiada lagi ibu bapa diderhaka, tiada lagi pembunuhan secara percuma, tiada lagi tabarruj, tiada lagi duka nestapa di pihak mangsa. Nah! Fahamilah Cinta Agung ini..Tanpa Cinta ini manakan pejuang Islam mampu berjihad hingga ke titisan darah, manakan Umar bisa menghunus pedang berbisa, manakan Ziad Bin tariq mampu menakluk Andalusia! TIdak mungkin sama sekali itu semua berlaku tanpa Cinta Allah.

ALLAH tahu rahsia ini, sebab itu ALLAH suruh cinta kepada- Nya karena kesannnya pada manusia bukan pada ALLAH. Kesan itulah yang menguntungkan manusia. ALLAH tahu apabila cinta kepada ALLAH, terjadilah cinta sesama manusia. Di situlah untungnya manusia kerana cinta-mencintai datang kasih sayang, bekerjasama, rasa bersama dan di situlah kebahagiaan.

ALLAH juga memerintahkan manusia untuk takut kepada-Nya. Mengapa demikian? Apakah ALLAH memerlukan takut manusia ini? Maha Suci ALLAH dari memerlukannya.

Apabila manusia faham dan menghayati kehebatan, keMahakuasaan, kegagahan, dan keadilan ALLAH maka dia akan takut kepada ALLAH. Jika sentiasa merasa diawasi ALLAH, maka dia tidak akan berani melanggar hukum-hukum ALLAH dan peraturan manusia yang tidak bertentangan dengan aturan ALLAH. Di mana pun dan bila-bila pun. Dia tidak akan sanggup menyakiti seluruh makhluk ciptaan ALLAH. Dia tidak akan sanggup berbuat mungkar dan maksiat, baik yang lahir mahupun batin, kerana dia tahu keadilan ALLAH dalam membalas setiap perbuatan mungkar dan maksiat.


Maka, jelaslah wahai para pembaca yang dikasihi, ana tidak menyuruh kalian leka sekadar membaca, tetapi ambillah walaupun sedikit, kerana dengan wujud sedebu cinta Allah ini di dalam hati kalian, Usah kalian takut, ALLAh akan membalas cintamu itu. Dia amat mencintai hamba-hambaNya yang taat dan mencintai-NYa. Wailalliqa.

0 comments:

 

Mahabahtullah | Copyright 2009 - Modified by Amin Rox