5.6.08

Cinta dan Pengorbanan






Biasanya seorang kekasih rela berkorban apa saja untuk kekasihnya demi merealisasikan bukti cintanya. Biar apa pun kata nista orang, langsung tidak dipedulikannya. Buktinya, lihatlah pada seorang lelaki yang mencintai seorang perempuan. Kelihatannya macam orang yang hilang pertimbangan. Kerana segala fikirannya, masa, tenaga, harta, wang ringgit dan sebagainya, dikorbankan berhabis-habisan untuk cintanya. Hingga melupakan kepentingan diri sendiri.

Kalau ada orang yang mengatakan perbuatannya itu bodoh atau sudah gila, dia tidak ambil pusing, macam tidak didengarnya. Dia tidak terasa sakit hati dengan cemuhan-cemuhan, kritikan dan kata nista itu. Padanya, bila dia dapat berkorban atau berbelanja dengan memberi hadiah atau memberi sesuatu pemberian pada kekasihnya itu, ia satu nikmat, bukan menyusahkannya. Bahkan terasa indah dan bahagia serta seronok pula. Walaupun lahiriahnya kita nampak fizikalnya susah payah bekerja untuk itu, berhempas pulas mengumpulkan duit untuk menyediakan hadiah-hadiah itu.


Seperti juga orang yang sedang bertunang yang hanya tunggu diijabkabulkan. Inilah masanya dia berkorban habis-habisan. Habislah seluruh tenaga, fizikal, masa, wang ringgit dan harta dikerahkan untuk memikirkan bagaimana hendak memuaskan hati buah hatinya itu.Tentu dia akan lipatgandakan usaha-usaha lebih daripada biasa, bagi menawan buah hatinya semaksimum mungkin. Tentu dia bekerja keras untuk cari duit belanja, bermati-matian untuk buat rumah dan membeli segala kelengkapan isi rumah sebagai persediaan menunggu hari perkahwinan atau hari pertemuan pertama itu. Pendek kata, buat kerja apa pun, semuanya untuk memikirkan cintanya. Itu sahaja. Di waktu itu wang ringgit payah hendak diberikan pada orang lain.

Itu baru gambaran cinta seseorang terhadap sesama makhluk yang tidak ada apa-apa jasa padanya. Sekadar terpikat pada rupa paras dan kecantikannya. Itu pun dia sanggup berkorban bermati-matian untuk membalas cinta kekasihnya. Demi menyenangkan hati orang yang dicintainya.

Bagaimana pula dengan orang yang bercinta dengan Tuhan?Bagaimana pula dia berkorban untuk membuktikan cintanya?

Infak fisabilillah (berkorban pada jalan Allah) mengikut pengertian syariat ialah berbelanja apa yang ada ke jalan yang diredhai oleh Allah atau berkorban berhabis-habisan apa yang ada, sama ada harta, wang ringgit, tenaga, masa, fikiran hatta nyawa sekalipun semata-mata untukAllah.

Berkorban atau berbelanja pada jalan Allah ertinya terpaksa kurangkan harta atau susutkan harta, kurang wang ringgit, kurang masa untuk dirinya berehat atau langsung tidak rehat, kurang dapat kasih sayang atau langsung tidak dapat kasih sayang dan bermanja dengan isteri-isteri, suami, anak-anak dan keluarga. Rumah yang besar jadi kecil atau langsung tidak ada rumah.

Patut dapat kasih sayang, sudah tidak dapat lagi. Terpaksa tinggalkan anak-anak, isteri-isteri, suami, ibu ayah, saudara-mara, sahabat-handai, kampung halaman, harta, rumah tangga, tinggal jawatan, kedudukan, degri, menara gading dan tinggal segalagalanya kerana diuntukkan segala-galanya tadi buat mencari keredhaan Allah. Untuk perbuatan dan sikapnya itu, mereka sanggup menerima apa jua risikonya seperti sanggup menjadi miskin, dihina, difitnah, dikata, dicaci, dimaki, dikecam,ditohmah, diseksa hatta sanggup dibunuh sekalipun, demi semata-mata hendak menunaikan kehendak cinta agungnya, iaitu Allah.

Begitulah pengorbanan seseorang itu bilamana Allah sudah dijadikan Cinta Agungnya. Kerana cinta itu memanglah buta walau kepada apa dan siapa sekalipun, sama ada kepada isteri, kepada suami, kekasih, tunang atau kepada Allah. Pada saya, orang yang boleh berkorban atau berbelanja berhabis-habisan untuk Allah itu ialah orang yang sangat cinta dan mabuk dengan Allah. Yakni meletakkan Allah itu sebagai Cinta Agungnya mengatasi segala cinta yang lain.
Tidak salah rasanya kalau disebutkan mereka ini orang yang gilakan Allah.Hingga kerana-Nya, manusia sanggup susah dan mati. Bahkan kesusahan itu tidak dirasakan susah lagi.Sebaliknya susah itu dirasakan satu kebahagiaan dan kegembiraan bila dapat ditunaikan. Ianya sebagai hadiah atau pemberian untuk Cinta Agungnya. Itulah kepuasan walaupun dia sendiri susah untuk mendapatkannya.

Seorang mukmin yang benar-benar bertaqwa kepada Allah sudah tentulah pengorbanannya lebih berganda-ganda lagi dalam semua hal untuk Allah. Pengorbanan itulah bukti rasa cinta pada Allah itu. Yang lain-lainnya sudah jadi kecil. Dia rela susah dan menderita bahkan sanggup berkorban apa saja demi Allah Cinta Agungnya itu.

Di waktu itu dia sudah benar-benar tajalli dengan Allah SWT. Oleh itu dia dapat menyempurnakan urusannya dengan Cinta Agungnya. Dengan membawa rasa cinta di hati yang memuncak inilah seseorang itu dapat berkorban untuk yang dicintainya. Kalau cintanya meminta apa saja sekalipun hak miliknya, akan sanggup dikorbankan. Inilah yang telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW. Kerana cintanya kepada Allah, Allah pun mengaku dialah kekasih-Nya yang digelar Habibullah. Yang mana segala tenaga, masa, kekayaan sepenuhnya dikorbankan untuk Allah.

Begitulah juga berlaku pada para Sahabat baginda yang lain seperti Sayidina Abu Bakar, Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Usman dan ramai lagi. Sebahagian besar masa, tenaga, harta dan hidupnya dikorbankan untuk Allah. Kalaupun ada untuk kepentingan diri dan keluarga, ianya terlalu sedikit. Sebab itulah Islam cepat berkembang dan cepat menguasai dunia. Sifat atau watak mereka ini yang paling ketara ialah keghairahannya pada perjuangan Islam dan berkorban untuknya. Yakni menegakkan kalimah Allah pada diri, keluarga, masyarakat
dan seluruh sistem hidup. Segala masa, tenaga, fikiran, harta dan keupayaannya dikerahkan pada kerja-kerja menegakkan sistem hidup Islam.

Untuk itu dia sudah jual segala yang ada padanya ke jalan Allah kerana hendak membuktikan cintanya kepada Allah. Kalau begitu bolehlah kita katakan, orang yang berkorban pada jalan Allah kerana orang itu telah mencintai Allah. Ertinya, pengorbanan dan cinta, dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kalau ada cinta, ada pengorbanan dan kalau ada pengorbanan, ertinya kerana adanya cinta.

Jadi, orang mabuk cinta Allah ini dia akan berkorban. Dengan pengorbanan itu lahirlah kemajuan dan tamadun Islam. Kerana merealisasikan cintanya pada Allah, bermacam-macam pengorbanan yang dapat dibuatnya. Sehingga terlahirnya tamadun itu. Gabungan dari hati-hati yang mabuk cinta ini akan dapat membangunkan jemaah dan negara serta empayar Islam. Inilah buahnya. Kemajuan atau tamadun itu adalah hasil perjuangan dan pengorbanan. Perjuangan dan pengorbanan adalah buah cinta umat Islam kepada Allah.

Contoh buah cinta lahirkan pengorbanan adalah seperti:

1. Memberi bantuan kewangan kepada pendakwah-pendakwah.

2. Membantu dengan harta untuk menegakkan agama Allah seperti membangunkan sistem pendidikan Islam, sekolah Islam, universiti Islam, membangunkan masjid, surau atau rumah-rumah kebajikan, rumah wakaf, membina kampung-kampung Islam, hospital secara Islam, ekonomi Islam, rumah anak-anak yatim, fakir miskin dan janda-janda terbiar, membina jalan raya dan jalan air atau tandas awam, memberi bantuan kewangan kepada orang yang menegakkan ekonomi Islam seperti membangunkan kilang atau projek-projek secara Islam, keluarkan biasiswa, bantu beli kenderaaan untuk kemudahan jemaah Islamiah, alat perhubungan bagi mempercepatkan pergerakan perjuangan Islam dan lain-lain lagi. Membantu tertegaknya pertanian secara Islam, mewakafkan tanah untuk pembangunan semua hal yang tersebut tadi, mencairkan seluruh harta kekayaan sebagai modal untuk membantu dalam semua sudut pembangunan
Islam.

Maka dengan pengorbanan itu lahirlah tamadun Islam seperti zaman Rasulullah SAW, Khulafaur Rasyidin dan salafussoleh. Mereka telah pun korbankan segala-galanya untuk membuktikan cinta agung mereka. Rasulullah SAW berkorban selaju angin kencang. Sayidina Abu Bakar habiskan semua hartanya sehingga yang tinggal hanya Allah dan Rasul sahaja. Sayidina Umar Al Khattab tiga perempat hartanya habis dikorbankan. Sayidina Usman Affan pula korbankan separuh daripada hartanya dan begitulah para Sahabat yang lainnya. Walaupun miskin tapi tetap juga berkorban. Jika tidak ada pengorbanan, ertinya cinta itu adalah palsu. Cinta itu mesti dibuktikan dengan pengorbanan.

Di sini dapat difahami bahawa kesan daripada cinta Allah dan Rasulullah serta cintakan hari Akhirat, jadi pendorong kepada seseorang itu sanggup berkorban hingga dapat membangunkan kemajuan dan tamadun Islam. Kalau cinta kepada Allah dan Rasul tidak mendalam atau langsung tidak ada, maka seseorang itu tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Mungkin tangannya menghulurkan wang untuk jihad tetapi hatinya tidak ikhlas. Ada kepentingan atau ada udang di sebalik batu. Mungkin kerana ingin undi, ingin dipuji, ingin dibalas jasanya dan sebagainya. Maka lahirlah tamadun yang tidak bercorak Islam.

Bila seseorang itu cintanya kepada Allah dan Rasul tidak mendalam, maka dia tidak akan sanggup berkorban berhabis-habisan. Pengorbanan itu tidak wujud darinya. Kesannya, umat Islam tidak akan maju dan tidak dapat melahirkan tamadun Islam. Juga tidak akan hidup bertolong bantu. Tenaga, fikiran, masa, wang ringgit dan harta dihabiskan untuk membangunkan sistem riba, hotel-hotel untuk kemungkaran, disko untuk puaskan nafsu, kilang atau faktori untuk ada peluang melabur atau untuk mendapat saham kosong, membangunkan sekolah atau universiti untuk dapat ilmu yang banyak tetapi niat untuk pangkat dan jawatan, bukan untuk Allah dan Rasul.

Pembangunan atau tamadun begini, walau macam mana pesat sekalipun ia adalah kerana cinta nafsu dan diri sendiri. Ini akan menjadikan manusia itu rosak seperti sombong, gila dunia, rakus, mementingkan diri dan sebagainya. Inilah yang banyak berlaku di dunia hari ini. Kemajuan dan tamadun yang begitu tinggi, tidak dapat menyelamatkan insaniah manusia. Kemajuan yang tidak memberi ketenangan, kebahagiaan, keharmonian dan keamanan. Oleh itu pengorbanan yang dicurahkan itu tidak dianggap pengorbanan. Ia diibaratkan barang buruk yang dihadiahkan kepada kita. Begitulah pengorbanan yang Allah minta tetapi kita balas dengan kejahatan.
Prev: kisah tak sempurna

0 comments:

 

Mahabahtullah | Copyright 2009 - Modified by Amin Rox