Dewasa kini, berbagai-bagai watak dan ragam kita lihat di ruang media, di ruang TV, akhbar dan majalah. Tidak kurang ada yang menunjukkan aksi melampau seolah-olah dunia ini mereka yang punya. Seolah-olah tiada hukum yang berkuat kuasa dalam era ini. Sama ada dari aspek ekonominya, sosialnya dan juga politik, semuanya terjunam ke dalam kancah yang kita panggil kemaksiatan.
Senario ini bukanlah satu perkara pelik dan baru bagi kita, bahkan menjadi kebiasaan dan candu kepada kehancuran. Gejala sosial yang berleluasa, seks bebas, penzinaan, sumbang mahram, pembuang bayi, merompak, mencuri dan macam-macam lagi. Dari segi politiknya pula, berlaku banyak pecah amanah, rasuah bermaharajalela, perebutan kuasa dan lain-lain. Perkara ini bukan sahaja berlaku setakat di negara ini, bahkan di seluruh dunia. Semuanya disebabkan sifat rakus manusia durjana dalam merebut harta dan kuasa. Dari segi ekonominya pula, penindasan, monopoli perniagaan berleluasa, riba diperaktikkan, merompak, mencuri dan rasuah ibarat perkara biasa yang tiada apa-apa.
Dan kehidupan dunia ini hanyalah senda gurau dan permainan. dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui. 30:64
Di manakah jiwa yang merdeka? Jiwa yang bebas dari semua belenggu jahiliah tadi? Natijahnya, semakin maju manusia semakin hancurlah akhlak dan akidah ummat kita. Usah ditnya salah siapa, usah dituding kepada sesiapa, usah dimaki pihak berkuasa. Semuanya perlu dikaji semula, dilihat secara terperinci.
Jiwa muda-mudi kini ketandusan iman dan takwa. Keseronokan dan hiburan menjadi tuhan malapetaka, berajakan nafsu serakah, berpermaisurikan syaitan laknatullah. Iman yang nipis bak kulit bawang bisa dieroboh dengan begitu mudah sekali. Sekali harung hancurlah muda-mudi kita. Masjid menjadi golongan orang tua beriktikaf, menghabiskan sisa-sisa hidup; risau tidak sempat bertaubat. Walhal, pawagam, pub-pub, casino dan 'arcade' pula dipenuhi ratusan muda-mudi. Masa mereka terbuang bak air yang mengalir deras dari jeram yang tinggi, tiada henti-henti. Gejala sosial bertambah-tambah. pergaulan bebas lelaki dengan wanita tidak menjadi kesalahan bahkan digalakkan. Punah seranah harapan datuk nenek, ibu ayah, abang adik.
Negeri akhirat itu Kami jadikan bagi orang-orang yang tidak menyombongkan diri dan tidak berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu bagi orang-orang yang bertakwa. (28:83)
Begutlah situasi zaman pasca kemerdekaan sekarang. Jelasnya generasi masa depan dihimpit kerundungan. Jiwa mereka jiwa yang tandus. Iman mereka iman yang nipis. Agen perubahan perlu dilaksanakan. Jiwa yang tajdid perlu digerakkan. Para mujahid alaf baru perlu dihidupkan. Merekalah pejuang agama. Agama menjadi pegangan bukan mainan, bukan sekadar sandaran keselesaan. Mereka berjuang demi keamanan. Mereka muda-mudi yang mengenali Islam pada kaca mata sebenar melalui penyerapan jiwa dan nurani. Mereka faham akan kehidupan dunia. Mereka yakin adanya hari pembalasan. Mereka tidak alpa dan juga tidak leka.
Laksana jet pejuang F-22 Raptor buatana US, mereka mengatur langkah, mentarbiyah jiwa baru, mendidik diri , menyemai kasih sayang yang abadi. Keikhlasan mereka tiada tandingan. Masjid tempat mereka melepaskan tekanan. Sujud menjadi tanda kemegahan. Solat pengubat duka dalam segala keadaan. Mereka buka golongan penolak kemajuaan. mereka yakin kemajuan tetap kemajua. tapi setiap kemajuan perlu ada kemanfaatan beragama. Berpolitik pun mesti ada konsep pengabdian sebagai khalifah, amanah perlu dijaga, rasuah perlu dibanteras dan kermedekaan minda menjadi wadah dalam penjanaan modal insan sebenar.
Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yangn benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah kemenangan yang agung. (9:111)
Perjuangan mereka hanya satu, mencari kebenaran dan menghidupkan semula kegemilagan masa lampau. Kegemilangan yang pernah mereka dengar, namun kali mereka ingin melihat pula. Mereka ingin menjadi bak Salehuddin Al-Ayubi, Sultan Mehmed Al-Fateh, dan Ziyad Bin tariq. Jiwa mereka jiwa yang tajdid, jiwa yang baru dari yang baru. Jiwa mereka berbeza dari jiwa muda-mudi kini. Jiwa mereka jiwa yang bebas dari cengkaman kafirun, musyrikun dan munafikun. Mereka inilah golongan yang pasti berjaya. Mereka amat benci kepada kemaksiatan tetapi suka akan kebajikan. Mereka laksana singa yang kelaparan menagih keinsafan dan juga keadilan. Mereka ialah para mujahid alaf baru. Para mujahid yang berjuang membebaskan jiwa dan minda dari jajahan mentaliti dunia zionisme dan dunia hedonisme.
Ayuh jiwa yang ingin merdeka seperti mereka, usah takut dibelenggu ketakutan, kerisauan. Jiwa yang ingin merdeka bukan jiwa yang pengecut. jJiwa yang ingin merdeka perlu berani. Semboyan berani perlu dilaungkan sekuat-kuatnya dalam jiwa dan hati. Ketakwaan perlu dijana, keimanan perlu dipertebalkan. Keseronokan perlu dikecilkan. Ayuh!
Katakanlah, "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, Sesungguhnya Allah mengapuni dosa-dosa (kecuali syirik) semuanya. Sesungguhnya, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. (39:53)